My Blog List

Thursday, September 30, 2010

PENGALAMAN DALAM DUNIA ICT

Salam sejahtera kepada semua,

Rasanya kita sudah masuk minggu terakhir dalam semester ini. Masa sememangnya amat pantas berlalu sehingga saya tidak menyedari sudah berada di penghujung semester. Saya terasa amat bertuah kerana dapat mengikuti kelas Isu-Isu ICT ini bersama dengan Tuan haji Nazri kerana dalam kelas ini banyak pengalaman baru tentang Kecanggihan dunia ICT yang saya tidak pernah alami telah saya perolehi. Pengalaman ini amat berguna kerana sebagai guru kita seharusnya bergerak seiring dengan pembangunan teknologi ICT. Pengalaman ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi dengan rakan sejawat dan juga anak-anak murid saya di sekolah. Pembelajaran yang amat saya kagum sekali ialah pembelajaran melalui 'DimDim' yang Tn Haji jalankan bersama kami. Ini adalah pengalaman pertama saya berlajar melalui 'Web Conference' Walaupun kadang-kadang ada kekangan dari segi kelemahan talian, namum secara keseluruhannya amat bermakna kepada saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima-kasih kepada rakan-rakan sekelas yang sangat ramah dan selalu membantu saya. Akhir kata saya berharap mempunyai peluang lagi untuk mengikuti kelas ataupun subjek seperti ini pada masa akan datang.

sekian terima kasih.

Thursday, August 19, 2010

MASALAH PENYENGGARAAN MAKMAL KOMPUTER DI SEKOLAH

Makmal komputer di sekolah sememangnya menghadapi masalah dari segi penyenggaraan. Banyak makmal di sekolah tidak terurus kerana tidak ada kepakaran dari segi penyenggaraan. Walaupun kerajaan telah melantik seramai 500 orang juruteknik komputer di setiap daerah, tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Juruteknik yang dilantik hanyalah bertugas di pejabat pendidikan daerah masing-masing dan tidak keluar untuk membantu dalam penyenggaraan makmal komputer di sekolah-sekolah.

Perkakasan dan perisian komputer yang terdapat di dalam makmal memerlukan penyelenggaraan sentiasa untuk mengelakkannya daripada mudah rosak. Memandangkan makmal komputer tidak mempunyai pembantu makmal sebagaimana makmal sains yang mempunyai pembantu makmalnya sendiri, maka kerja-kerja penyelenggaraan buat masa sekarang terletak di bahu guru teknologi maklumat itu sendiri. Ini bermakna beban tugas guru teknologi maklumat semakin bertambah.

Kerja-kerja penyenggaraan ini mengambil banyak masa guru sekiranya terdapat kerosakan ke atas sesebuah komputer. Oleh kerana banyak masa telah dihabiskan untuk tujuan penyelenggaraan komputer, seseorang guru teknologi maklumat kekurangan masa pula untuk membuat persediaan bagi tujuan P&P. Kekurangan komputer yang boleh digunakan juga menyebabkan proses P&P turut terganggu.

Kadang-kala terdapat juga kalangan guru teknologi maklumat yang kurang mempunyai kemahiran menyenggarakan komputer. Ini bermakna sebarang kerosakan pada komputer perlu merujuk kepada pihak luar. Kaedah ini biasanya memakan belanja yang besar dan proses P&P juga terganggu. Oleh itu, untuk membantu meringankan tugas guru dan menjimatkan perbelanjaan dalam membaik pulih perkakas-perkakas ICT, kerajaan patutlah menempatkan juruteknik di setiap sekolah . Diantara tugas-tugas juruteknik komputer ialah:

  1. Membantu tugas-tugas pengurusan aset ICT di sekolah dibawah penyeliaan Pengetua/Guru Besar/Guru Data.
  2. Menyelenggara kemudahan & perkhidmatan ICT, perisian, perkakasan dan aplikasi yang dibekalkan KPM/JPN/PPD serta menyelesaikan masalah teknikal seperti:-
  3. Pemeriksaan dan penyenggaraan kelengkapan ICT yang rosak seperti kerosakan perkakasan utama, komponen-komponen dan aksesori ICT.
  4. Membantu, memantau dan menyelia Rangkaian LAN dan WAN serta menyelaras server-server utama dan peralatan seperti Firewall, Proxy, DNS bagi School*Net , EG*Net, Broadband, Internet Access, Pusat Akses dan sebagainya.
  5. Menyelaras Meja Bantuan Teknikal ICT.
  6. Sebagai pegawai urusan bagi aktiviti penyelenggaraan termasuk mencatat log, memantau kerjayangdilakukan oleh pembekal, membuat tindakan susulan kepada pihak berkaitan.
  7. Menyediakan keperluan perolehan ICT untuk pengurusan sekolah.
  8. Mengawasi isu-isu keselamatan ICT diperingkat sekolah serta mematuhi kawalan dan prosedur keselamatan yang berkesan selaras dengan dasar-dasar keselamatan yang telah ditetapkan oleh KPM/JPN//PPD/Sekolah serta MAMPU
  9. Melaksanakan tugas-tugas lain berkaitan pengurusan peralatan ICT yang di arahkan dari semasa ke semasa.

Walaupun sesetengah sekolah mempunyai juruteknik komputernya sendiri namum bilangannya adalah sedikit berbanding dengan jumlah sekolah yang terdapat di seluruh Malaysia. Dukacita yang amat sangat kerana kerajaan telah membelanjakan banyak peruntukkan untuk membangunkan ICT di sekolah tetapi dari segi penyenggaraannya terabai. Diharapkan kerajaan dapat menempatkan paling kurang seorang juruteknik komputer di setiap sekolah di negara kita supaya perkakas-perkakas komputer dapat dijaga dan disenggarakan dengan sebaik mungkin supaya dapat digunakan oleh anak-anak pelajar kita di seluruh negara dan ini dapat merelilasikan hasrat negara yang mahukan setiap rakyatnya celik IT.

BILANGAN KOMPUTER DI SEKOLAH JAUH LEBIH RENDAH DARIPADA BILANGAN PELAJAR DI SEKOLAH

Program Pengkomputeran sekolah semakin diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada ketika ini. Ini adalah kerana untuk memberi peluang kepada pelajar pelajar sekolah supaya mereka dapat menguasai pengetahuan asas ICT di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Berbekal dengan pengetahuan asas ICT para pelajar dan graduan akan dapat berdepan dengan kehendak dan cabaran kerjaya mereka dalam abad ke 21.

Di samping itu keupayaan pelajar menguasai ICT dapat membantu mereka mengharungi ledakkan maklumat yang semakin pantas. Justeru, pendedahan kepada alam pengkomputeran telah direalisasikan kepada semua pelajar dan warga pendidik pada peringkat awal secara sistematik dan terancang oleh kerajaan agar budaya pengkomputeran dapat diamalkan dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif.

Dari perspektif pembangunan modal insan program pengkomputeran sekolah bertujuan untuk memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan keterampilan melalui usaha pembestarian sekolah dengan menjadikan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kompetensi guru.

Walaupun hampir semua sekolah di malaysia ini dibekalkan makmal komputer, namun pelajar tidak dapat akses kepada komputer secara menyeluruh kerana bilangan komputer yang dibekalkan jauh lebih rendah daripada bilangan pelajar dalam sesebuah kelas. Bilangan komputer yang boleh digunakan seringkali terhad disebabkan oleh kerosakan teknikal yang dialami menambahkan kadar pengguna komputer bertambah sehingga 4 atau 5 orang murid terpaksa berkongsi satu unit komputer semasa pengajaran dijalankan.

Berikutan dari itu pengalaman ‘hands on‘ pelajar terbatas dan dikhuatiri masalah ini menjejaskan penguasaan kemahiran ICT pelajar-pelajar sekolah. Perkembangan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein :

“Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos.”

Kementerian Pendidikan berusaha membawa kemudahan untuk pelajar-pelajar mendapat akses kepada pengetahuan ICT supaya pelajar-pelajar bandar dan luarbandar tidak ketinggalan dalam aspek kopetensi ICT. Dalam usaha ini kawasan luarbandar diberi keutamaan untuk mendirikan makmal-makmal komputer bermula pada bulan Mac 2000. Walaupun pelbagai masalah timbul dalam proses pembinaan namun demikian projek ini telah dapat disempurnakan berperingkat-peringkat dan teknologi IT dapat disalurkan kepada pelajar-pelajar bandar dan luarbandar.



USAHA KERAJAAN DALAM PEMBANGUNAN ICT DI SEKOLAH

Dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan pembinaan Makmal Pengkomputeran, Projek Rintis Sekolah Bestari 88 buah sekolah di seluruh negara, penyediaan infrastruktur dan rangkaian jalur lebar(schoolNet0, PPSMI, Cyber Cafe, Teknologi Wireless, Komuniti ICT da Briget ICT.

Segala usaha ini adalah untuk merapatkan jurang digital di kalangan pelajar dan guru dalam sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar. Kemudahan infrastuktur yang berkaitan dengan ICT dilaksanakan dengan memberi talian SchoolNet dengan menggunakan teknologi ADSL, Wireless dan Satelite di kawasan-kawasan pendalaman terutamannya di Sabah dan Sarawak.

Usaha membawa teknologi ICT ke sekolah tidak akan memberi makna sekiranya tenaga pengajar di sekolah-sekolah tidak didedahkan dengan latihan kemahiran iCT dan penggunaan teknologi tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Makmal dibina di sekolah adalah amat canggih dan selesa. Ia terdiri daripada 3 model iaitu Model 1, Model2 dan Model 3 bedasarkan populasi sesebuah sekolah yang terlibat. Kemunculan makmal komputer adalah selaras dengan Program Pembestarian Sekolah.

Namum begitu, secanggih mana teknologi dan makmal yang dibekalkan adalah sial-sial jika tidak disenggara dan digunakan dengan betul. Mampukah guru-guru ICT untuk menguruskan makmal-makmal komputer dengan berkesan. isu ini akan saya kupaskan pada selepas ini.

Friday, August 13, 2010

KULIAH MELALUI WEB

Salam Sejahtera semua,
Saya ingin berterima kasih kepada Tn Hj Nazri selaku pesyarah Isu-isu ICT dalam pendidikan kerana memperkenalkan kepada kami dunia ICT yang sebenar yang selama ini kami sememangnya ketinggalan dalam bidang ini. Teknologi yang amat saya kagum adalah pembelajaran melalui web atau melalui internet. Di sini pensyarah menggunakan laman 'Dimdim' untuk menjalankan kelas bersama kami.
Saya berasa pembelajaran dalam 'Dimdim' adalah sangat bagus kerana ia boleh dijalankan pada bila-bila masa walaupun pelajarnya berada jauh daripada kampus. Contohnya seperti saya yang tinggal di negeri Kedah dapat mengikuti kelas dengan Tn Hj yang menjalankan kelas di UPSI Tanjung Malim. Selain dapat mendengar kuliah daripada kelas ini, kami juga ditunjukkan slide 'powerpoint' berkaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Selain itu kami juga boleh berkomunikasi dengan rakan sekelas yang berada di berlainan tempat. Rakan-rakan sekelas juga amat ramah dan sanggup memberi pertolongan apabila saya memerlukannya.
Walaupun pembelajaran web ini amat canggih dan memudahkan kami kerana tidak perlu berulang jauh untuk mendapatkan kuliah, tetapi ia juga mendatang sedikit masalah kepada saya kerana kita memerlukan line internet yang agak kuat untuk kualiti paparan yang jelas dan tanpa tersekat-sekat. Saya hanya menggunakan broadband dan di rumah saya line internet agak lembap, jadi saya terpaksa menggunakan internet di kedai nasi kandar "Nasmir"
Walaupun ada sedikit masalah, tetapi ia amat memudahkan dan berkesan dalam pembelajaran. Oleh itu, saya berharap teknologi ini dapat diperluaskan untuk subjek yang lain selain daripada subjek ICT sahaja. Untuk pembaca blog yang ingin tau lebih lanjut tentang program ini boleh layani laman web ini http://my.dimdim.com/

Wednesday, July 14, 2010

PENGGUNAAN MAKMAL ICT DI SEKOLAH

Salam sejahtera dan selamat bertemu dalam blog saya. Seperti mana yang kita sedia maklum, kerajaan telah membelanja wang yang banyak dalam memastikan pendidikan di negara bergerak maju seperti negara maju yang lain. Antara peruntukkan terbesar dalam pendidikan adalah dalam pendidikan ICT.

Kita rakyat malaysia kursusnya sedia maklum bahawa kerajaan telah menyediakan di setiap sekolah pelbagai kemudahan ICT yang canggih dan mahal. Antaranya adalah makmal komputer. Saya bernasib baik kerana kerana ditempatkan mengajar di salah sebuah sekolah baru di bandar Kulim,Kedah. Di sekolah saya telah tersedia dua buah makmal komputer yang serba lengkap dengan peralatan ICT yang canggih seperti komputer untuk pelajar, skrin LCD, sistem "wireless" untuk tujuan mengakses maklumat, mesin pencetak, sistem penggera keselamatan dan banyak lagi.

Walaupun kemudahan telah tersedia, tetapi dari segi penggunaannya pula amat menyedihkan. Guru-guru di sekolah lebih berminat menggunakan cara tradisional dalam P&P. Komputer yang terdapat pun banyak yang rosak dan tidak terurus. Setiap sekolah mempunyai guru yang bertugas menjaga makmal tersebut tetapi kita tidak bolehlah meletakkan 100% tanggungjawab tersebut kepada guru berkenaan kerana beliau sendiri pun ada tugas lain yang sama pentingnya seperti guru kelas, guru unit beruniform, guru sukan dan permainan dan sebagainya.

Di sini saya ingin mengajak rakan-rakan untuk memberi komen atau cara-cara untuk mengatasi masalah ini. Diharap idea-idea yang bernas ini boleh dikongsi bersama kebaikan bersama. Untuk maklumat lanjut mengenai isu-isu ini anda boleh melawat ke laman web http://www.scribd.com/doc/21277985/Isu-Dan-Cabaran-Penggunaan-Ict-Dalam-Pengajaran.

Wednesday, June 23, 2010

Selamat datang blog dunia ict bersama saya OH SIN KOENG. Saya ingin menjemput rakan-rakan berkongsi pendapat bersama-sama saya mengenai dunia ict ini.