My Blog List

Thursday, August 19, 2010

BILANGAN KOMPUTER DI SEKOLAH JAUH LEBIH RENDAH DARIPADA BILANGAN PELAJAR DI SEKOLAH

Program Pengkomputeran sekolah semakin diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada ketika ini. Ini adalah kerana untuk memberi peluang kepada pelajar pelajar sekolah supaya mereka dapat menguasai pengetahuan asas ICT di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Berbekal dengan pengetahuan asas ICT para pelajar dan graduan akan dapat berdepan dengan kehendak dan cabaran kerjaya mereka dalam abad ke 21.

Di samping itu keupayaan pelajar menguasai ICT dapat membantu mereka mengharungi ledakkan maklumat yang semakin pantas. Justeru, pendedahan kepada alam pengkomputeran telah direalisasikan kepada semua pelajar dan warga pendidik pada peringkat awal secara sistematik dan terancang oleh kerajaan agar budaya pengkomputeran dapat diamalkan dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif.

Dari perspektif pembangunan modal insan program pengkomputeran sekolah bertujuan untuk memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan keterampilan melalui usaha pembestarian sekolah dengan menjadikan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kompetensi guru.

Walaupun hampir semua sekolah di malaysia ini dibekalkan makmal komputer, namun pelajar tidak dapat akses kepada komputer secara menyeluruh kerana bilangan komputer yang dibekalkan jauh lebih rendah daripada bilangan pelajar dalam sesebuah kelas. Bilangan komputer yang boleh digunakan seringkali terhad disebabkan oleh kerosakan teknikal yang dialami menambahkan kadar pengguna komputer bertambah sehingga 4 atau 5 orang murid terpaksa berkongsi satu unit komputer semasa pengajaran dijalankan.

Berikutan dari itu pengalaman ‘hands on‘ pelajar terbatas dan dikhuatiri masalah ini menjejaskan penguasaan kemahiran ICT pelajar-pelajar sekolah. Perkembangan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein :

“Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos.”

Kementerian Pendidikan berusaha membawa kemudahan untuk pelajar-pelajar mendapat akses kepada pengetahuan ICT supaya pelajar-pelajar bandar dan luarbandar tidak ketinggalan dalam aspek kopetensi ICT. Dalam usaha ini kawasan luarbandar diberi keutamaan untuk mendirikan makmal-makmal komputer bermula pada bulan Mac 2000. Walaupun pelbagai masalah timbul dalam proses pembinaan namun demikian projek ini telah dapat disempurnakan berperingkat-peringkat dan teknologi IT dapat disalurkan kepada pelajar-pelajar bandar dan luarbandar.



No comments:

Post a Comment